Saturday, June 13, 2009

ayuh teman!


Ganjaran besar diberikan kepada Muslim yang menyeru kebaikan, cegah kemungkaran

FUTUR ataupun terhenti menjalankan aktiviti dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sudah sering kali kita dengar serta lihat dengan mata dan telinga kita sendiri. Begitulah keadaan pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi. Memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan diakui kadang-kala turun dan meningkat. Begitu juga dengan iman, seperti dikatakan Imam Bukhari dalam riwayat: "Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang."

Imam Ahmad pernah ditanya makna bertambah dan berkurangnya iman. Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada 'Umair bin Hubaib. Katanya: "Iman bertambah dan berkurang."


Maka dia ditanya: "Bagaimana bertambah dan berkurangnya? Dia menjawab: Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, mensia-siakan-Nya maka itulah berkurangnya."

Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus daripada melakukan dakwah adalah perkara mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar.

Firman Allah bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang yang beruntung." (Surah al-Imran, ayat 104)

Kita akui bahawa aktiviti dakwah bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan cabaran akan mendatang bagi memadamkan aktiviti dakwah daripada terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam artikel beliau bertajuk kewajipan generasi muda Islam hari ini.

Al-Qardhawi berkata:

"Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan itu sehingga dalam rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: Mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?"

Namun, adakah kekangan ini yang menjadikan kita berduka cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran?

Malah, Allah menggelar penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia. Firman Allah bermaksud:
"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Jika Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang fasik."

Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Pada masa sama, jangan sekali lagi membiarkan diri untuk tidak dipercayai oleh malaikat, seperti yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.


Firman Allah bermaksud:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Teruskanlah berpesan kepada kebaikan dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, berasa nikmat iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri.

Oleh Yussamir Yusof-- berita harian

No comments: